Tuesday, 19 November 2013

Semuanya Deni Populariti


Bobo akui pada mulanya dia tertekan dengan kritikan negatif masyarakat sekeliling terhadap dirinya.


Populariti adalah suatu perkara yang diidamkan oleh ramai pihak. Bukan individu yang terlibat mereka dalam industri hiburan sahaja yang mengejar populariti, malah ramai lagi turut mahu mengecapinya.
Tetapi kini sesuai dengan perkemabangan teknologi, ramai yang menganggap populariti boleh dicapai dengan mudah.
Dalam tempoh beberapa jam sahaja seseorang itu sudah boleh dikenali di seluruh dunia.
Caranya adalah dengan memuatkan video yang memaparkan diri sendiri di laman perkongsian Internet. Medium paling popular masa kini pastinya YouTube. Lebih kreatif video itu, akan lebih mudahlah capai populariti.
Dewasa ini, terdapat banyak video sama ada berbentuk parodi ataupun yang berbentuk jenaka sama ada ia disengajakan atau tidak dimuat naik ke Internet yang menarik perhatian masyarakat umum.
Antara video-video yang terkenal termasuklah oleh seorang individu bernama Bobo atau nama sebenarnya Mohamad Farezzul Mohamad Kasim yang melakukan aksi tersendiri dengan mimik muka ‘menjengkelkan’ sambil diiringi lagu Sayang nyanyian Shae.
Selain daripada itu, video-video lain yang turut mencipta populariti tersendiri adalah berkenaan seorang gadis muda yang menyambut ulang tahun bersama kekasihnya.
Tidak kurang juga video-video daripada individu yang dikenali ramai antaranya video bagaimana isteri kepada pemain bola sepak negara, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo dengan seorang pengawal keselamatan.
Mungkin sesetengah pihak akan mengatakan itu hak mereka dan ia tidak lebih daripada sekadar hiburan semata-mata.
Namun bagi segelintir pihak lain, tindakan tersebut mengundang pelbagai persepsi.
Video parodi dihasilkan untuk tujuan apa sebenarnya? Apakah untuk saja suka-suka, atau mahu mencipta populariti dalam sekelip mata? Kalau mahu popular, apakah mereka langsung tidak malu muncul dengan imej menjengkelkan sepertimana dilakukan oleh sebahagian ‘artis parodi’ ini?
Rezeki
Bobo yang kini merupakan artis rakaman di bawah syarikat produksi milik David Teo iaitu MIG Productions menjelaskan tindakannya memuat naik video tersebut hanya sekadar mengisi masa terluang dan merupakan suatu tindakan spontan.
Dalam pada masa sama dia turut menafikan tanggapan yang mengatakan dirinya mahu meraih perhatian masyarakat melalui penghasilan video parodi tersebut.
"Sebenarnya idea untuk membuat video tersebut terhasil akibat kebosanan. Jadi saya merakam dan memuat naik di laman sosial. Tidak sangka pula ia menjadi terkenal.
"Saya juga terkejut sebenarnya apabila video terbabit menjadi ikutan ramai dan mendapat jumlah tontonan yang tinggi, dan pada awalnya gembira juga.
"Tetapi lama kelamaan semakin banyak komen dan cakap-cakap negatif yang dilemparkan bukan sahaja pada diri saya tetapi turut melibatkan keluarga. Ini sedikit sebanyak mengecewakan saya," katanya yang kini bergelar pelakon.
Jelas pemuda berusia 20 tahun itu, pada awalnya agak sukar buat dirinya dan ahli keluarga untuk menerima kritikan berbaur negatif dan penghinaan .
Tetapi setelah beberapa lama, perkara tersebut sudah menjadi biasa.
"Setelah beberapa ketika, saya dan keluarga dapat menerima keadaan tersebut. Mungkin ini ketentuan buat diri saya kerana kini kegiatan tersebut bukan sahaja sekadar suka-suka, tetapi sudah menjadi mata pencarian saya.
"Bagi saya tidak ada salahnya, kerana saya bukan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang tetapi sebaliknya hanya bertujuan untuk menghiburkan sesiapa yang dapat menerima perkara tersebut," jelasnya.
Bobo turut mengingatkan kepada mana-mana individu yang mahu melakukan perkara sama supaya bersedia dengan segala kritikan masyarakat sama ada positif atau negatif.
Trend terbaharu ini bukan sahaja berlaku di negara kita malah ia turut melibatkan individu daripada pelbagai negara sesuai dengan ledakan teknologi yang memungkinkan segala perkara tersebut berlaku.
Antara video luar negara yang banyak dijadikan parodi oleh masyarakat Malaysia termasuklah golongan selebriti adalah video seorang penyanyi berasal dari Korea Selatan iaitu Hari yang mencetuskan fenomena Gwiyomi.
Disebabkan video tersebut juga, Hari yang kini berusia 23 tahun semakin dikenali di seluruh dunia dan telah turut berkunjung ke negara ini untuk bertemu dengan peminatnya di Malaysia.
Jelas Hari, dia sendiri tidak menyangka video tersebut mendapat sambutan dan menjadi ikutan ramai. Lebih memeranjatkan dirinya adalah video tersebut ditiru oleh masyarakat seluruh dunia.
"Video tersebut sebenarnya telah memberi saya peluang kedua untuk mengukuhkan nama di persada seni dan apabila mendapat tahu ia diterima baik, saya amat terharu.
"Bagi saya tindakan mereka melakukan parodi video tersebut sama ada dalam bentuk sebenar mahupun jenaka bukan sebarang masalah kerana ia merupakan penghargaan daripada mereka.
"Disebabkan video parodi mereka, semakin ramai orang mula mengenali diri saya yang kemudian mengikuti perkembangan karier seni saya dan pastinya itu merupakan suatu perkara yang positif," jelasnya.
Dalam pada itu, Hari turut meluahkan hasratnya untuk kembali ke Malaysia dan mahu bertemu dengan Nora Danish untuk sama-sama melakukan aksi Gwiyomi bersama dirinya, jika diberikan kesempatan.
Justeru, ada pro dan kontranya dalam penghasilan video parodi seperti ini. Jika mahu menjadi artis atau dikenali dengan lebih cepat, ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi apakah melalui cara sebegini?
Sudah pasti, artis-artis parodi ini sudah pasti tidak mahu terus dikenali sebagai ‘pelawak’ yang membodoh-bodohkan dirinya sendiri hanya untuk mendapat populariti daripada masyarakat umum. Percayalah, populariti sebegini tidak akan membawa mereka ke mana-mana, sebaliknya populariti hanya dalam jangka masa yang singkat. Pada akhirnya, bakat dan keupayaan sebenar juga yang dinilai orang.
Jadi, sungguhpun semakin dikenali sebagai artis parodi sekalipun, tidak seharusnya sehingga menggadai maruah diri dan keluarga dalam mencapai cita-cita tersebut.
Tindakan memuat naik video sama ada melalui idea sendiri atau membuat parodi daripada video orang lain kini semakin popular apatah lagi ia turut dilakukan oleh artis-artis antaranya Nora Danish, Adira, Johan Raja Lawak dan juga Sharifah Sakinah.
Sebelum ini, Sakinah kerap memuat naik video dirinya melakukan aksi yang dianggap kurang senonoh oleh segelintir pihak dan dialog yang diucapkannya juga berbaur lucah dan kebudak-budakan.
Antaranya, video yang memaparkan dirinya berjoget di atas meja, video yang menyaksikan dirinya melihat pakaian dalamnya sendiri dan juga penggunaan burung permainan untuk menyamai bahagian tubuh yang sensitif. Ini jarang dilakukan, terutamanya oleh kaum wanita yang menjunjung tinggi adat dan susila agama dan bangsa. Sakinah dikritik teruk daripada penghasilan video berkenaan yang disifatkan banyak orang sebagai sengaja mencari publisiti murahan, sekali gus merosakkan reputasi diri sendiri.
Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar bagaimanapun berkata, tindakannya melakukan aktiviti tersebut bukanlah bertujuan untuk mengejar publisiti murahan tetapi sekadar untuk suka-suka sahaja.
"Sepanjang masa saya terikat dengan jadual penggambaran, jadi tindakan tersebut sebenarnya merupakan suatu cara untuk saya dan rakan-rakan berhibur apabila mempunyai masa terluang.
"Ia langsung tidak bertujuan untuk mencipta sebarang populariti kerana saya sudah dikenali umum sebagai seorang pelakon. Sejujurnya ia hanyalah sekadar suka-suka sahaja," jelas adik kepada Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahira.
Tambah wanita berusia 23 tahun ini lagi, dia tidak pernah merancang untuk melakukan sesuatu video dan kebanyakan idea tersebut hadir secara sendiri kerana memang begitu perwatakan dirinya.
"Sifat yang ditonjolkan melalui video-video saya juga bukanlah lakonan kerana saya memang berperwatakan sedemikian dan rasanya adalah lebih baik saya menonjolkan diri yang sebenar berbanding hanya berpura-pura.
"Sebagai seorang selebriti, saya sedar perbuatan itu akan mengundang pelbagai persepsi namun saya tidak berhak untuk memarahi mereka yang mengkritik kerana saya sendiri yang memulakannya," jelasnya lanjut.

0 comments:

Post a Comment