Tuesday, 19 November 2013

Parodi jadi budaya




"Macam pekak je... macam tak faham je...". Begitulah lebih kurang dialog yang diubah dengan pelbagai gaya baru hanya selepas menyaksikan video viral popular yang menyaksikan seorang gadis berkata "macam comel je...macam cantik je...".

Sungguhpun ia kelihatan kelakar dan berbentuk jenaka, namun sebenarnya ia adalah suatu perkembangan yang kurang sihat apabila budaya tersebut turut digunapakai oleh golongan individu yang berpendidikan tinggi.

Pakar Psikologi dari Universiti Malaya, Dr. Mariani Md. Nor, sungguhpun perkara tersebut adalah satu cara generasi kini berhibur, namun implikasinya tetap perlu diberi perhatian khususnya yang berbentuk negatif.

"Tidak boleh dinafikan tujuan seseorang memuat naik apa-apa video adalah untuk mencipta nama dan popular di mata masyarakat. Ini kerana sifat remaja tidak boleh lari daripada mahukan suatu pengiktirafan oleh masyarakat umum.

Benar ia hanyalah hiburan dan tidak menyalahi undang-undang, namun perlu juga dilihat kesan perbuatan itu kerana perkara tersebut mudah menjadi ikutan oleh orang ramai yang menonton sesebuah video.

Dan bermula daripada situ, pasti lama kelamaan video yang dimuat naik itu akan memaparkan apa-apa aksi yang semakin mengarut dan tidak bersesuaian sama sekali dengan etika dan budaya masyarakat kita," jelasnya.

Tambah Dr. Mariani lagi, teknologi tersebut tidak bersalah kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan yang baik. Namun sebagai individu, kita seharusnya memilih untuk menggunakannya pada jalan yang baik dan berguna untuk membuat kebaikan.

Trend ini tidak salah, tetapi apabila kita melihat daripada sudut generasi muda sebagai pelapis pemimpin negara, apakah individu sedemikian yang kita mahukan untuk memerintah negara suatu hari nanti?

"Pelbagai bentuk hiburan positif lain yang boleh dilakukan generasi muda untuk sama-sama membantu membina generasi pelapis negara yang mampu mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi, bukannya dengan menghasilkan video-video yang tidak memberi manafaat sebegini," ujarnya lanjut.

Setiap teknologi yang hadir mencipta suatu peluang bagi mana-mana individu yang bijak untuk menggunakannya dengan cara yang betul bagi memberi kelebihan buat diri sendiri, termasuklah mencipta populariti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIG Productions, David Teo, dia lebih gemar melihat sesuatu itu dari sudut positif walaupun banyak pihak menuduhnya mengambil kesempatan dengan menawarkan kontrak kepada Bobo.

"Memuat naik video ke dalam YouTube dan laman sosial lain adalah medium bagi individu yang tidak berpeluang untuk memasuki industri hiburan tanah air. Barangkali ini mungkin kerana mereka tidak mempunyai kenalan dalam bidang tersebut.

"Jadi ini merupakan cara mereka untuk menonjolkan diri beserta dengan bakat yang dimiliki dan sebagai seorang penerbit, tidak salah untuk saya memberi peluang kepada individu yang saya rasakan berbakat.

"Dalam hal ini, saya lebih suka melihatnya daripada sudut yang positif kerana ia adalah lebih baik dan mudah dibuat berbanding hanya melihatnya daripada sudut negatif," jelasnya.

Tambah penerbit yang yang telah menerbitkan lebih 100 buah filem ini, peluang yang diberinya itu adalah kesempatan kepada individu tersebut untuk berusaha mengejar cita-cita mereka menjadi selebriti.

"Jika mereka benar-benar serius mahu berjaya, itu terpulang kepada bagaimana mereka menguruskan perjalanan karier dalam tempoh yang diberikan.

"Selain daripada Bobo, tidak dinafikan ada beberapa individu lain yang kami kenali melalui YouTube dan sedang kami dekati untuk menawarkan kontrak kepada mereka," katanya.

Tambah David lagi, trend tersebut kini amat popular dan sebagai sebuah syarikat produksi yang aktif dalam industri ini, tidak salah bagi mereka untuk membantu mana-mana individu yang bermula di laman sosial untuk mengejar populariti.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli turut bersetuju bahawa video parodi kini adalah sesuatu yang sedang relevan dengan masyarakat semasa sehingga mewajarkan segmen sedemikian dalam rancangan MeleTop terbitan saluran tersebut.

"Rancangan MeleTop bukan sahaja berkisar tentang industri hiburan dan kehidupan para artis tanah air, tetapi ia juga memaparkan perkara-perkara yang sedang popular dan isu semasa.

"Memandangkan budaya video parodi sedang popular kini, adalah tidak salah rasanya kami turut mengadakan segmen parodi sendiri bagi memperkayakan lagi bahan siaran melalui saluran Astro Ria," jelasnya.



0 comments:

Post a Comment