PERNAH digosipkan berkahwin dengan seorang kenamaan berstatus menteri suatu ketika dahulu, akhirnya kebenaran terjawab juga apabila pelakon ini mengakui hatinya kini telah dimiliki oleh seorang lelaki lain. Lebih indah lagi, mereka bakal disatukan pada tahun 2014, selepas lebih lapan tahun berkenalan.
Walaupun agak sukar mengorek rahsia dari wanita berumur 38 tahun ini, sikap terbukanya menjelaskan kedudukan hatinya yang kini dimiliki seorang kenalan lama yang cukup memahami dirinya.
Berkongsi fakta mengenai lelaki pilihan, rupa-rupanya sejak dari dahulu lagi Zahida Mohamed Rafik memberitahu dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang pada usia sekarang. Malah, dia juga tidak pernah menyimpan hasrat untuk disatukan dengan lelaki selain Melayu. Sebab itu, kekasihnya kini adalah seorang ahli perniagaan berbangsa Melayu yang berasal dari Johor.
"Dari dulu lagi memang saya tidak suka orang putih ke, lelaki bangsa lain. Dan teman lelaki saya itu seorang Melayu yang berasal dari Johor. Dia tiga tahun lebih tua daripada saya.
"Kami berkenalan menerusi rakan sejak lapan tahun lalu, ramai rakan-rakan saya juga mengenali dia," katanya ketika ditemui pada majlis pelakon Betty Banafe, di Carcose Seri Negara, Kuala Lumpur.
Menurut Zahida sekian lama mengenali kekasihnya ini, keserasian mereka memudahkan hubungan ini berlangsung dalam keadaan saling mempercayai antara satu sama lain.
"Kami sudah lama saling mengenali, jadi memang sudah memahami, tidak sukar meneruskan hubungan ini sebenarnya.
"Bagi saya kalau dalam mana-mana hubungan juga perlu ada kepercayaan, itu yang akan menguatkan mana-mana hubungan,"katanya tersenyum.
Bagi pelakon cantik ini, sekarang adalah masa yang sesuai untuk dia memberi fokus kepada kehidupan baru memandangkan sebelum ini terlalu sibuk dengan usaha membina masa depan yang lebih terjamin.Kini setelah apa yang diidamkan menjadi kenyataan, dia mula terfikir untuk menamatkan zaman solonya.
"Memang kami pernah berbincang soal ini, tetapi kesibukan kami dengan perniagaan masing-masing serta hal lain menyebabkan kami terpaksa menangguhkan perkahwinan sebelum ini.
"Ikutkan dari segi kewangan serta kesediaan kami memang tidak ada masalah untuk berkahwin. Cuma, ketika ini kami masih mencari waktu yang sesuai," katanya yang pernah popular menerusi menerusi filem komedi Anak Mami The Movie.
Menguak sedikit identiti bakal suaminya ini, cukup sekadar mengetahui dia tidak pernah mencari lelaki yang sudah berkeluarga dan berstatus tinggi. Sebaliknya hanya orang biasa yang menjadi pilihan hati.
"Dia belum pernah berkahwin dan masih bujang.Dia juga bukan sesiapa dan tidak mempunyai gelaran pun," katanya ringkas dalam bahasa mesra.
Wanita cantik ini pernah di fitnah bernikah dengan seorang kenamaan di luar negara. Tidak cukup dengan itu dia juga dituduh menerima sejumlah wang untuk menampung kehidupannya. Rentetan dari kejadian itu, dia menerima tempias kutukan yang agak teruk, namun kekal positif, wanita ini mengambil langkah bertenang. Menurut Zahida kepercayaan bakal suaminya ini juga menyebabkan dia tidak terlalu melatah dengan perkara tersebut.
"Sebab kami sudah kenal terlalu lama, dia lebih mengenali saya. Bagi saya kalau kita melatah benda itu akan dianggap benar. Sebab itu saya diam dengan apa juga gosip yang sengaja ditimbulkan sebelum ini.
"Jujurnya gosip berkenaan sedikitpun tidak menganggu hubungan kami. Dalam kehidupan seharian, memang saya banyak kenal orang kenamaan, tetapi saya sendiri tidak jelas kenapa gosip sebegitu perlu muncul," katanya.
Tetap senang tidak mendedahkan siapa lelaki penting dalam hidupnya kini, bagi Zahida dia sangat menghormati permintaan pasangannya itu untuk tidak diberikan pendedahan didalam media. Bagaimanapun untuk berlaku adil dan supaya tidak terus ada fitnah, kisah pernikahanya tetap akan dihebahkan kepada umum.
"Saya rasa tidak perlu dedahkan siapa kekasih saya itu buat masa sekarang. Ini juga permintaan dari dia dan saya perlu hormati. Tetapi sudah tentu saya akan tetap menjemput media untuk majlis itu nanti," katanya.
Masih menyendiri pada usia mencecah angka 40-an, Zahida langsung tidak menyesal akan pilihan yang dibuat
Melihat rakan-rakannya lain sudah berkahwin dan mempunyai anak sebelum ini, kebahagiaan orang lain bukan penyebab untuk dia merasa kecewa dengan keputusan dirinya.
"Bagi saya jodoh bukan ketentuan kita, saya merasa gembira untuk kehidupan baik kawan-kawan. Saya tidak tertekan pun.
"Sebab saya percaya, suatu hari masa saya akan sampai," katanya.
Berhenti berlakon
Kalau diikutkan memang sudah lama kita tidak melihat lakonan Zahida. Sejak sibuk dengan perniagaan keluarga, Zahida memberitahu dunia lakonan bukan bidang pilihannya lagi. Malah sudah hampir lima tahun dia tidak lagi ke set penggambaran.
"Saya tidak fikir saya akan kembali ke dunia lakonan, sudah lima tahun saya tidak berlakon.
"Bukan kecewa, tetapi masa depan saya bukan dalam bidang lakonan. Sebab itu kehidupan saya kini lebih tertumpu buat bidang perniagaan keluarga sahaja sekarang ini," katanya.
Mengakui memasuki dunia lakonan secara tidak sengaja, bagi Zahida walaupun rakan baiknya yang lain dilihat lebih cenderung meneruskan perjuangan dalam bidang lakonan, tetapi dia kekal dengan pendirian untuk tidak lagi terlibat dalam bidang ini.
"Memang ada tawaran, kalau ikutkan sesekali mahu juga. Tetapi saya sudah buat keputusan. Bagi saya dunia saya kini lebih kepada bidang perniagaan.
"Bukan sebab bidang seni ini tidak menjanjikan kemewahan, tetapi bagi saya ia bukan jaminan masa depan buat saya dan keluarga. Bagi saya memasuki dunia lakonan tidak sengaja, dan untuk keluar dari bidang ini juga bukan sesuatu yang sukar," katanya jujur.
Menolak untuk memberitahu keputusan untuk berhenti berlakon ini merupakan permintaan bakal suami, keputusan ini dibuat Zahida tanpa campur tangan sesiapa.
"Mengapa saya perlu ikut kata dia, ini keputusan saya.Memang sudah lama saya lebih senang beri tumpuan buat perniagaan, bukan lagi ke lokasi," katanya.
Melihat acara kehidupan seharian di laman sosial miliknya, tidak salah kalau dikatakan wanita ini menjalani kehidupan yang cukup mewah. Baju berjenama, tas tangan mewah, kasut daripada pelbagai jenama antarabangsa yang bernilai puluhan dan ratusan ribu ringgit sering diperaga. Apa sebenarnya yang ingin dipertontonkan? Menjawab soalan itu, kata Zahida, dia tidak pernah terfikir untuk menunjuk-nunjuk. Perkongsian itu sekadar untuk menjadi dirinya sendiri.
"Apa yang saya miliki selama ini adalah rezeki dari Allah. Saya anak bongsu dari lima adik-beradik perempuan. Jadi, bergaya sudah menjadi kebiasaan buat kami, sama macam perempuan lain juga," katanya.
Berkongsi rahsia kesihatan diri, menurut Zahida sudah menjadi kesukaannya untuk memasak dan makan makanan pilihan. Bagaimanapun wanita ini tidak menolak senaman menjadi amalan penting dalam aktiviti seharian.
"Saya tidak ambil apa-apa ubat, tidak mengamalkan diet. Rakan-rakan yang lain juga tahu saya memang suka makan.
"Tetapi saya imbangi kesukaan tersebut dengan senaman. Saya juga suka berpeluh dan saya akan memastikan perlu berada di gimnasium sebanyak empat kali seminggu," ujarnya berkongsi tips kelansingan badan.
Cinta saya orang biasa