Gara-gara kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun, Almy Nadia kini terpaksa menjadi penjual karipap di kampung untuk menyara kehidupanya.. Menurut Almy Nadia, perniagaan karipap kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang beliau menetap di kampung di Balik Pulau, Pulau Pinang… Karipap yang dihasilkan bersama ibunya itu dikatakan mendapat sambutan yang mengalakan..
“Tawaran berlakon memang sudah lama tidak ada jadi daripada saya duduk tanpa berbuat apa-apa adalah lebih baik saya lakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mencari duit lebih seperti menjual karipap.
“Alhamdulillah karipap yang dihasilkan bersama ibu iaitu inti kentang, ayam, daging dan sardin mendapat sambutan. Ada kalanya kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar,”
“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon dan sekurang-kurangnya rezeki menjual karipap itu halal.
“Malah jika ada yang menjemput menghadiri acara hiburan dengan bayaran RM100 pun saya terima kerana itu adalah rezeki saya,” katanya.
Tambah Almy Nadia lagi, kemunculan ramai artis baru dan sikapnya yang tidak pandai melobi penerbit mungkin menjadi penyebab kenapa dia tidak mendapat tawaran berlakon dari pihak produksi lagi..
“Perasaan rindu hendak berlakon itu memang ada tetapi nak buat macam mana tawaran memang tiada. Hendak meminta-minta saya segan kerana saya tidak pandai melobi penerbit.
“Tambahan pula pelakon wanita baharu semakin ramai dan lebih menyerlah berbanding diri saya yang tidak seberapa ini,” katanya merendah diri. (Mstar)
Jual Karipap, Tiada Tawaran Berlakon