Saturday, 23 November 2013

Saat tersebarnya kisah cinta pasangan ini, ramai yang menyambut baik kisah itu sekaligus mendoakan semoga hubungan pereka fesyen & pengacara, Jovian Mandagie bersama kekasih hatinya yang juga anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Nina Sabrina Datuk Seri Ismail Sabri melangkah ke alam perkahwinan.
Selepas lima bulan membuat persiapan perkahwinan, akhirnya pasangan sejoli ini umumkan yang mereka bakal bernikah di Muzium Diraja Istana Negara lama, Jalan Istana Kuala Lumpur pada 11 Disember 2013, jam 3.00 petang.
“Selepas perkenalan hampir dua tahun, akhirnya kami membuat keputusan untuk berkahwin pada 11.12.2013. Majlis kami bertemakan tradisional Melayu & Jawa. Nina berketurunan Melayu dan saya berdarah campuran Jawa”, kata Jovian Mandagie sambil Nina di sisinya, pada sidang media khas bertempat di Alexis, Bangsar, sebentar tadi.
Majlis resepsi di sebelah pihak perempuan khas untuk para tetamu VIP ang bertemakan Melayu-Tradisional akan diadakan pada 14 Disember 2013 bertempat di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Sementara majlis resepsi kedua pula yang bertemakan Jawa akan diadakan pada 15 Disember 2013, juga di hotel yang sama.
Memandangkan bapa Nina yang juga merupakan ahli Parlimen Bera, satu majlis khas iaitu majlis makan bersama penduduk di Bera akan diadakan pada 21 Disember 2013.
Lebih istimewa, dua hari sebelum bernikah majlis bersiram bagi kedua-dua bakal pengantin akan di adakan secara berasingan di rumah keluarga masing-masing.
Jovian dan Nina mula berkenalan sejak mereka sama-sama menjalinkan hubungan perniagaan sejak dua tahun lalu. Kemudian mereka terus menjadi kawan baik.
Jovian melamar Nina pada 14 Februari lalu & gadis manis ini terus memberi kata setuju. Selepas majlis resepsi, pasangan ini merancang untuk berbulan madu di Turki, Itali & Rom. 

0 comments:

Post a Comment